Hidayah Allah kepada umatnya datang dalam pelbagai bentuk. Bagi seorang pemuda berusia 32 tahun kelahiran Kuala Lumpur, jendela imannya dikuak ketika mula-mula masuk ke gerbang institusi pengajian tinggi. Tay Eng Soon mengakui hatinya diketuk untuk mempelajari Islam pada usia 18 tahun apabila melihat rakan Melayu di tempat pengajiannya berpuasa di bulan Ramadan kira-kira 14 tahun lalu. “Saya mula bertanya kepada diri saya kenapa orang Islam berpuasa dan kenapa perlu puasa. Mereka (rakan saya) cerita mengenai berpuasa dan selepas itu saya minat untuk cuba berpuasa dan ikut rakan-rakan berpuasa. “Saya tanya mereka juga tentang Islam, kenapa perlu solat, ketika itu rakan-rakan saya sudi jawab soalan saya dan cerita tentang Islam, tentang nabi-nabi,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini. Ketika ditemui, Tay sedang mengikuti Kelas Fardu Ain Anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Bukit Indah Ampang. Kahwini gadis Melayu Tay mengambil masa selam...